Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin selepas selesai sesi sidang akhbar khas di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 JUN 2018.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin selepas selesai sesi sidang akhbar khas di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Calon kerusi Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin  Abu Bakar bersedia untuk membuat pengisytiharan harta sebagaimana yang bakal dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau, kesediaan itu disahutnya bagi memastikan calon Presiden bersih sebelum pemilihan UMNO yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

“Saya boleh isytihar harta, debat itu kita kena bincang dan isytihar harta itu saya kena siapkan dokumen,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, Ku Li berkata, kesediaannya itu untuk membuktikan beliau tidak pernah melakukan salahguna kuasa dan rasuah serta untuk dibuat perbandingan oleh ahli-ahli parti.

Khairy yang bertanding jawatan tertinggi UMNO itu memberitahu, beliau membuat keputusan di saat-saat akhir selepas bertemu dengan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ujarnya, Mohamad atau dikenali Tok Mat merestui hasratnya untuk bertanding kerusi tertinggi UMNO itu.

“Saya ni Timbalan Ketua Bahagian Rembau, jadi saya kena jumpa ketua bahagian saya. Sebelum saya buat keputusan saya telah berhubungan dengan Tok Mat.

“Saya kata kepada beliau (Tok Mat), kita perlu bagi pilihan yang lebih luas, saya kata boleh tanding presiden,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu akan tetap wala (setia) kepada UMNO sekiranya gagal memenangi kerusi Presiden UMNO.

“Kalau saya tidak berjaya untuk jawatan presiden, saya akan terus kekal dengan UMNO, tapi biarlah tidak ada tawaran saya akan jadi ahli biasa.

“Saya boleh beri bantuan tidak perlu tawar jawatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette