Sebanyak 412 pembantu guru (Gred N19) di Melaka dan Kedah yang dikenali sebagai PT Rintis bakal terjejas apabila jawatan tersebut akan ditamatkan berkuat kuasa 30 Jun ini.
Sebanyak 412 pembantu guru (Gred N19) di Melaka dan Kedah yang dikenali sebagai PT Rintis bakal terjejas apabila jawatan tersebut akan ditamatkan berkuat kuasa 30 Jun ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 412 pembantu guru (Gred N19) di Melaka dan Kedah yang dikenali sebagai PT Rintis bakal terjejas apabila jawatan tersebut akan ditamatkan berkuat kuasa 30 Jun ini.

Sehubungan itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan khas dan sewajarnya agar kontrak mereka dapat dilanjutkan seterusnya diserapkan ke jawatan tetap.

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata, jawatan PT Rintis diperkenalkan pada 2012 oleh Menteri Pendidikan ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Program Pelaksanaan Rintis Strategi Lautan Biru (NBOS) – Pemantapan Profesion Guru.

“Melaka merupakan negeri rintis pertama yang menjalankan program ini dan diikuti Kedah bagi melihat keberkesanan jawatan ini dalam membantu mengurangkan bebanan guru.

“Namun, jawatan ini tidak mendapat perhatian khusus daripada pihak yang berkenaan. Jadi, kita mohon agar satu kajian impak dibuat bagi memastikan keberkesanannya sama ada program yang dirintis ini berjaya atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma NUTP di sini, hari ini.

Katanya, pembantu guru berkenaan juga sudah diberi penerangan tentang aplikasi yang dibangunkan Kementerian Pendidikan seperti Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS), e-Operasi, Sistem Pengurusan Latihan Guru (SPLG) dan Aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

“Mereka dipanggil berkursus selepas dilantik selain menerima gaji harian RM54 atau RM1,030 sebulan yang dibayar berdasarkan bilangan hari bekerja dan tiada peruntukan cuti diberikan,” katanya.

Justeru, Kamarozaman berkata satu memorandum akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah dalam Perutusan Hari Guru 2018 menyebut agar jawatan Pembantu Pengajar diwujudkan bagi menggalas tugas pentadbiran dalam usaha mengurangkan beban dipikul guru di negara ini.

Menurutnya, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) komited dalam memastikan guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam mendidik pelajar seperti termaktub dalam Buku Harapan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast