KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat UMNO hari ini mengeluarkan senarai calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan parti itu Sabtu ini dan 30 Jun depan, dengan lima calon bakal merebut jawatan Presiden parti.

Mereka ialah Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, ia bakal menyaksikan persaingan di antara Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Ismail Sabri, Mohamed Khaled, Mahdzir, Tajuddin dan Johari merupakan anggota Majlis Tertinggi UMNO.- BERNAMA