Reezal Merican Naina Merican.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KEPALA BATAS – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara peribadi beranggapan Khairy Jamaluddin paling layak untuk memegang jawatan Presiden UMNO.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Kepala Batas berpendapat, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO mempunyai keupayaan untuk mentransformasikan parti itu untuk menjadi lebih disegani pada masa depan.

Menurut beliau, perkembangan politik semasa tidak lagi menilai kepada umur seseorang pemimpin, sebaliknya melihat kepada soal intelektualisme, wibawa, komitmen dan rasa percaya rakyat kepada pemimpin berkenaan.

“Bakal Presiden UMNO perlu ada wibawa dan kemampuan yang tepat di Dewan Rakyat. UMNO perlukan ‘fighter’, bukan ‘negotiator’.

“UMNO perlukan ‘warrior’, UMNO perlukan ‘Jeneral’ sebenar untuk bantu kita berdepan kerajaan. Saya hanya nampak Khairy untuk mengisi amanah ini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Wanita UMNO bahagian itu di Penang Golf Resort, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Reezal Merican yang akan bertanding mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) berkata, beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan calon Presiden UMNO lain meskipun secara terbuka menyokong Khairy.

“Kecenderungan ini tidak bererti saya ada masalah dengan calon lain terutama Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab dalam soal ini kita terpaksa pilih satu sahaja daripada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berharap sebarang keputusan pada pemilihan UMNO kali ini terutama bagi jawatan Presiden tidak akan menyebabkan perpaduan dalam kalangan ahli parti berpecah.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu menyedari sesiapa pun yang akan terpilih sebagai Presiden tidak melayakkan mereka menjadi Perdana Menteri kerana pemilihan kali ini lebih kepada usaha menentukan hala tuju parti pada masa depan.

“Saya juga berharap budaya mengadakan wacana secara terbuka dapat disuburkan dalam kalangan ahli UMNO selepas ini.

“Sekarang ini, bukan sahaja ahli UMNO, malah rakyat sendiri mahu melihat dan mengetahui apa yang akan berlaku dalam parti ini selepas kekalahan dalam pilihan raya umum lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast