Ketua Perhubungan UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media khas mengenai pencalonan beliau untuk bertanding jawatan Presiden UMNO di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2018
Tengku Razaleigh Hamzah

KUANTAN –  Barisan pimpinan baharu sayap UMNO yang terpilih dalam persidangan perwakilan semalam dilihat mampu memberi nafas baharu kepada parti yang telah berusia 72 tahun itu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Biarpun belum diumum secara rasmi, Tengku Razaleigh yang merupakan calon Presiden UMNO melahirkan rasa gembira kerana setakat ini kesemua calon yang disokongnya menang dalam pemilihan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Semua yang menang itu adalah yang kita sokong… menepati apa yang kita sokong, InsyaAllah ia mampu memberi nafas baharu kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis ramah mesra UMNO Pahang bersama Tengku Razaleigh di Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO menewaskan tujuh calon lain.

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat pagi tadi, Asyraf Wajdi berjaya mendapat 73 undi daripada 189 bahagian, meninggalkan tiga lagi pencabarnya iaitu Senator Khairul Azwan Harun (58 undi), Shahar Abdullah (56 undi), dan Datuk Seri Jamal Yunus (2 undi).

Sementara itu untuk sayap Puteri pula, Naib Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan dilaporkan menang pertandingan jawatan Ketua Puteri UMNO mengalahkan Hazreena Hashim.

Sementara itu Tengku Razaleigh berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh anggota UMNO terhadapnya setakat ini berdasarkan ‘turun padang’ yang dilakukan amat menggalakkan.

“Saya sudah bertemu dengan anggota parti di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang, setakat yang saya dapat lihat ‘menggalakkan’ lebih daripada itu saya tidak berani hendak cakap,” katanya yang akan ke Terengganu pula selepas ini. – Bernama