Selepas 44 hari Pilihan Raya Umum ke-14 dilangsungkan, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bertindak mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional.
Dr. Noor Azmi

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Perak membidas  Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang bertindak meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasinya, Muhammad Faeez Azahar berkata, tindakan Noor Azmi itu dianggap janggal kerana sebelum ini beliau banyak mengkritik PH semasa  BN berkuasa.

“Pemuda Amanah (PAN) Negeri Perak menerima khabar tersebut dengan penuh keraguan kerana semua maklum pendirian, kenyataan dan tindakan beliau sebelum ini, langsung tidak mencerminkannya seorang pemimpin yang bersama denyut hati nadi rakyat.

“Sebelum ini beliau lantang menyerang dan mengutuk tindakan Pakatan Harapan memperjuangkan isu-isu rakyat termasuklah mendesak perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi mengumumkan keputusan untuk keluar daripada UMNO dan BN, malah secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuklah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Mengulas lanjut, Faeez berkata, langkah Noor Azmi keluar parti dan menyokong PH disifatkan mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.

“Contoh-contoh daripada pelbagai lagi kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Noor Azmi sebelum PRU14 membuktikan beliau bukanlah seorang tokoh yang mempunyai prinsip. Tindakan beliau untuk menyokong dan menyertai Pakatan Harapan disyaki mempunyai agenda tertentu, bukan atas dasar kepentingan rakyat dan negara.

Lantaran itu katanya, PAN Perak mengingatkan agar mana-mana parti komponen PH tidak memberi peluang dan ruang kepada pemimpin seperti Noor Azmi di dalam parti.

“Kami berharap parti komponen PH mempertahankan prinsip dan arahan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mahu parti kerajaan lama yang dipimpin Barisan Nasional mempengaruhi kerajaan baharu pimpinan PH,” katanya lagi. -MalaysiaGazette