Allahyarham Arshad Ayub

KUALA LUMPUR – Tan Sri Arshad Ayub mengakui terkilan kerana Universiti Teknologi Mara (UiTM) sering dijadikan pertaruhan dalam isu-isu membabitkan politik dan orang Melayu.

Sedangkan, menurut beliau, UiTM tidak sepatutnya dijadikan mangsa politik kerana penubuhan universiti itu sudah jelas hasil daripada tindakan afirmatif.

Matlamatnya untuk membasmi kemiskinan, memberi pendidikan dan melahirkan profesional dalam kalangan bangsa Melayu termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pro Canselor UiTM itu berkata, di Malaysia mempunyai lebih 20 universiti awam dan berpuluh-puluh institusi pengajian swasta, malah setiap parti politik turut dibenarkan memiliki universiti masing-masing.

Malah, setiap penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini turut berpeluang mendapat bantuan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Memang betul UiTM menggunakan wang rakyat tetapi kita kena tahu penubuhan UiTM yang bermula dari RIDA (Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan) kemudian dikenali sebagai Institut Teknologi Mara, dinaik taraf kepada UiTM – supaya orang Melayu tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“RIDA, ITM atau UiTM bagi peluang anak-anak Melayu dan Bumiputera yang underserved (masih tidak berpeluang menikmati kemudahan terbaik di sekolah) dan underprivileged (tidak menikmati taraf hidup atau hak yang sama) seperti majoriti komuniti dalam masyarakat mendapat pendidikan.

“Mereka ini yang UiTM utamakan kerana pelajar-pelajar ini tidak kurang hebatnya dalam pendidikan cuma nasib dan peluang mereka di sekolah tidak semuanya sama disebabkan faktor-faktor yang saya sebutkan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu pertemuan di pejabatnya.

Lantaran itu, katanya, mengapa UiTM perlu diganggu sedangkan selama ini ia menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu berjaya sekali.

Dan, kaum-kaum lain juga tidak disekat kemasukan mereka di universiti-universiti awam lain atau universiti yang dibina untuk mereka.

Malah, katanya, universiti-universiti yang dikhususnya untuk kaum-kaum tertentu itu juga diberi bantuan oleh kerajaan walaupun tidak diuar-uarkan, katanya lagi.

Arshad menambah, tidak timbul isu membuka persaingan kepada penuntut-penuntut Melayu kerana graduan UiTM tidak pernah mempunyai masalah untuk bersaing.

Dalam keadaaan sekarang pun, majikan-majikan memberi peluang yang sama rata kepada semua graduan dalam alam pekerjaan.

“Berdasarkan rekod selama ini memang graduan UiTM boleh bersaing kerana mereka berkebolehan. Cuma ada pihak yang tidak melihat keupayaan graduan UiTM sebab selalu memainkan sentimen keutamaan yang diperoleh oleh orang Melayu. Itu sama sekali salah.

“Saya berbesar hati untuk menyatakan graduan-graduan UiTM memiliki keupayaan yang sama tinggi dengan penuntut universiti-universiti lain disebabkan kerjasama UiTM dengan sektor-sektor swasta, selain kebolehan penuntutnya berbahasa Inggeris,” jelas Arshad yang sinonim dengan gelaran bapa UiTM.

Melihat isu-isu yang dibangkit mengenai UiTM, Arshad, 90 mengakui Tabung Pendidikan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) RM1 bilion sangat penting agar ia dapat memberi manfaat kepada penuntut-penuntut universiti itu.

Seperti Universiti Harvard, penubuhan tabung seumpama itu dapat mengerakkan pelbagai aktiviti bagi membantu graduan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Mengulas sampai bila UiTM dapat dipertahankan untuk penuntut Melayu dan Bumiputera, Arshad, 90, berkata: “Semuanya terpulang kepada kerajaan tetapi kalau hendak buka (UiTM) bukanlah pada peringkat diploma atau ijazah sarjana muda kerana masih ramai lagi pelajar Melayu di luar sana yang tercicir.

“UiTM masih diperlukan untuk membantu pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera ini.

“Kalau pasca ijazah mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya perlahan. – MalaysiaGazette