Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai Projek Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 21 JUN 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. foto IQBAL BASRI, 21 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Menterinya, Lim Guan Eng menegaskan, adalah tidak benar dakwaan bahawa Bahasa Mandarin telah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kementerian itu.

Ujar beliau, ia boleh dibuktikan dalam laman web rasmi Kementerian Kewangan apabila kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan.

“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sakala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin.

“Jika adapun, terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal.

“Terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan semua kenyataan media rasmi di bawah kementerian sememangnya dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu.

Jelas beliau, pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan.

“Akan tetapi, saya akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial saya dan juga Bahasa Mandarin dalam komunikasi saya bersama akhbar Cina. Saya telah mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin pada 24 Jun 2018 tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini dan saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuatnaik dalam laman sosial saya pada 24 Jun 2018.

“Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast