Dr. Muhammad Nawar Ariffin.
Dr. Muhammad Nawar Ariffin.

KUALA LUMPUR – Golongan profesional tidak boleh lagi dipinggirkan dalam UMNO jika parti tersebut mahu melakukan perubahan dan menawan hati rakyat semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kata calon Ahli Majlis Tertinggi, Dr. Muhammad Nawar Ariffin.

Muhammad Nawar, 42, merupakan antara muka baharu yang menawarkan diri dalam pemilihan untuk Majlis Tetinggi dan menyifatkan langkah untuk menyertai pertandingan kali ini bertujuan untuk memberikan keseimbangan dalam pimpinan tertinggi tersebut supaya tidak dilihat hanya dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja.

“Majlis Tertinggi perlu keseimbangan antara kumpulan profesional, senior dan pemuda… keputusan saya menawarkan diri untuk bertanding Majlis Tertinggi ini bertujuan untuk menyeimbangkan keadaan dalam UMNO supaya ia tidak dilihat milik kumpulan tertentu sahaja.

“Majlis Tertinggi merupakan platform yang penting kerana ia akan menentukan polisi dan hala tuju parti, saya berharap untuk memberi sumbangan kepada UMNO ke arah pembaharuan parti untuk menawan hati rakyat semula,” kata beliau semasa dihubungi MalaysiaGazette.

Beliau yang juga seorang doktor bedah berkata, keputusannya untuk bertanding dalam MT adalah untuk membetulkan persepsi orang ramai bahawa UMNO kini sudah tiada lagi golongan profesional yang lebih cenderung untuk menyertai Pakatan Harapan.

“Golongan profesional selalunya dikatakan memilih Pakatan Harapan dan tidak ada lagi dalam UMNO, jadi saya mahu membetulkan persepsi tersebut seolah-olah UMNO tidak ada lagi pelapis di kalangan kumpulan profesional,” katanya.

Jelasnya, walaupun parti sudah tidak memegang kuasa lagi ia tidak bermakna perjuangan UMNO juga terhenti dan menegaskan parti perlu memahami kehendak akar umbi jika mahu terus kekal relevan dalam kalangan rakyat.

“Walaupun UMNO sudah hilang kuasa, ia tidak bermakna perjuangan saya juga terhenti… saya datang daripada akar umbi dan perjuangan saya kekal bersama UMNO walau apa terjadi kerana ini satu-satunya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu dan agama Islam.

“UMNO perlu memahami kehendak akar umbi dan pemimpin yang datang daripada akar umbi mampu memahami kehendak sebenar rakyat dibawah sana,” katanya yang juga bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang semasa pilihan raya umum lalu.

Pemilihan ahli MT Majlis UMNO bakal berlangsung pada 30 Jun, 2018.

Seramai 106 calon menawarkan diri untuk mengisi 25 kerusi MT UMNO. – MalaysiaGazette