Amran Ahmad
Amran Ahmad

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diminta menghantar wakil rakyat parti itu ke kelas Bahasa Melayu daripada sibuk mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan media Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin baru-baru ini.

Ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan mereka berdebat secara berkualiti sama ada di Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri.

“Daripada sibuk mempertahankan Bahasa Mandarin dalam kenyataan kementeriannya, lebih baik Lim Guan Eng hantar YB-YB DAP ke kelas Bahasa Melayu.

“Rakyat mengundi mereka untuk menjadi wakil di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri untuk membawa mesej rakyat.

“Isunya di sini, bagaimana nak bawa mesej rakyat kalau tak mampu berbahasa kebangsaan sedangkan peraturan dewan mahu hanya bahasa Melayu digunakan ketika perbahasan atau sebarang aktiviti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amran yang juga bekas pegawai khas ketua menteri P Pinang, daripada pengalamannya di ibu pejabat DAP mendapati ramai wakil rakyat DAP gagal untuk bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.

Jelasnya, walaupun kebanyakan pengundi DAP dan ahli parti itu adalah Cina, namun rakyat mahu wakil rakyat DAP mampu bertutur dalam bahasa Melayu. – MalaysiaGazette