Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JUN 2018

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa kerajaan meneruskan projek kontroversi Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kerana rakan baiknya, Tan Sri Vincent Tan mempunyai kepentingan di dalam projek itu.

Beliau menjelaskan tidak mengetahui penglibatan tokoh korporat itu dan keputusan kerajaan untuk mengekalkan projek itu selepas membuat rundingan semula mengenai terma-terma kontrak yang tidak menguntungkan sebelum ini.

“Kos projek ECLR sangat tinggi berikutan rundingan dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Terma-terma projek itu tidak baik.

“Jadi kerajaan perlu buat rundingan semula dan jika dapat terma lebih baik, ECLR akan diteruskan.

“Jadi saya tidak tahu mengenai dakwaan itu (Vincent) dan mungkin anda perlu bertanya kepadanya,” katanya.

Beliau diminta mengulas dakwaan laporan blog mengatakan projek ECRL diteruskan selepas Vincent membeli dan menjadi pemegang saham syarikat T7 Global pada 16 Mei lalu.

Laporan itu mendakwa T7 Global sebelum ini merupakan antara syarikat yang dianugerahkan kontrak projek ECRL oleh Kerajaan Terengganu dengan jajaran terpanjang ECRL adalah milik syarikat tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang merundingkan semula projek ECLR bersama China dengan harapan dapat mengurangkan kos.

Guan Eng memberitahu, kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana Malaysia telah membayar RM20 bilion tetapi untuk memastikan kelangsungan projek itu yang menjadi sebahagian daripada inisiatif One Belt One Road China (OBOR).

“Untuk projek ECRL, kita sudah bayar RM20 bilion, jadi tak masuk akal untuk kita mansuhkan begitu sahaja.

“Jadi kita akan runding semula,” katanya kepada sebuah portal berita. – MalaysiaGazette