KOTA KINABALU – Berikutan video berdurasi 10 saat yang tular di media sosial menunjukkan aksi dua pelancong asing menari K-pop di atas pagar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pihak berkuasa memutuskan menutup masjid tersebut kepada pelancong serta merta.
Keputusan yang berkuatkuasa hari ini itu dinyatakan oleh Pengerusi Masjid, Datuk Jamal Tun Sakaran dalam kenyataan kepada ejen-ejen pelancongan.
Memetik laporan Malaysia1News, kesemua bas pelancong, pemandu Grab dan teksi juga tidak dibenar membawa pelancong masuk ke kawasan masjid.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga telah mengarahkan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Aidi Moktar menyiasat prosedur operasi standard SOP membabitkan kawasan masjid. – MalaysiaGazette