BANGKOK – Bintang terkenal India, mendiang Sridevi Kapoor diberi penghormatan besar pada acara berprestij tinggi Anugerah Akademi Filem India (IIFA) di Bangkok semalam.

Agensi melaporkan, Sridevi yang meninggal dunia pada 25 Februari memenangi anugerah pelakon wanita terbaik bagi filem ‘Mom’ yang mengisahkan seorang ibu yang membalas dendam kerana anak tirinya dirogol.

Semua yang hadir memberikan salam penghormatan selama seminit kepada roh beliau supaya sentiasa tenang selain daripada ucapan dari pelakon terkenal tentang kehebatan beliau bergelar pelakon nombor satu India selama ini.

Antara yang bercakap termasuk Anil Kapoor yang banyak bergandingan dengan beliau.

Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Dubai.

Sridevi atau nama sebenarnya Shree Amma Yanger Ayappan memulakan karier dalam bidang lakonan seawal usia empat tahun dan terus bertahan empat dekad selepas itu.

Sepanjang hayatnya, mendiang membintangi pelbagai filem pecah panggung termasuk Chandni, Mr India, Mawali, Tohfa dan Nagina.

Beliau dikurniakan anugerah Padma Shri, iaitu anugerah keempat tertinggi khusus untuk orang awam, hasil sumbangannya dalam industri perfileman India.

Selain daripada Sridevi, Irrfan Khan yang terkenal dengan peranannya dalam filem blockbuster ‘Life of Pi’ dan ‘Slumdog Millionaire’ menerima anugerah pelakon terbaik namun tidak hadir pada acara itu selepas disahkan menghidap kanser. – MalaysiaGazette