Bezza
Gambar fail Perodua Bezza. foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR- Perodua telah menerima tempahan 1,000 unit Bezza dan Axia, pembelian fleet pertama bagi perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, jualan kepada syarikat-syarikat berkenaan telah membuka pasaran baharu kepada Perodua.

“Ini merupakan tanda kepercayaan syarikat-syarikat tersebut kepada kenderaan kami yang berkualiti, selamat serta mempunyai kos operasi yang rendah.

Perkembangan perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing di Malaysia telah merevolusikan pengangkutan bagi rakyat Malaysia, dan Perodua amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan mampan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Secara keseluruhan, lebih 300,000 Axia dan 100,000 Bezza telah dijual sejak pelancaran masing-masing pada 2014 dan 2016. Kedua-duanya merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah diperakui kerajaan dan menguasai segmen kenderaan masing-masing sejak pelancarannya.

Perodua baru-baru ini melancarkan varian baharu Bezza GXtra di Autoshow Malaysia 2018, yang diadakan pada 26-29 April di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Menggantikan varian 1.0 Standard G, Bezza GXtra menawarkan spesifikasi trim setanding dengan 1.3 Premium X tanpa sebarang kenaikan harga, dengan itu memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan.-MalaysiaGazette