PM Pandu Uji Proton SUV | Edisi MG 25 Jun 2018

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menurut posting di laman sosial rasmi beliau, telah mengadakan pertemuan dengan wakil DRB-Hicom dan Kumpulan Geely di pejabatnya Jumaat lalu.

Pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan hala tuju Proton yang mana 50.1 peratus kepentingannya dimiliki oleh konglomerat tempatan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary iaitu DRB-Hicom manakala baki 49.9 peratus lagi dimiliki syarikat China, Kumpulan Geely.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menyifatkan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan media kerajaan sebagai merosakkan identiti negara dan mewujudkan perkembangan tidak sihat kepada masyarakat di Malaysia.

Lim Guan Eng walau bagaimanapun mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu, namun kenyataan Facebook yang dikeluarkannya malam semalam untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Cina.

Penyerang prolifik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi disahkan akan berangkat ke Thailand hari ini selepas pihak pengurusan PKNP mengeluarkan surat pelepasan rasmi kepadanya pagi tadi.

Muhammad Shahrel yang ditawarkan kontrak 5 bulan sebagai pemain pinjaman kepada Kelab Liga Divisyen 1 Thailand, Nakhon Ratchasima FC dikatakan bakal menerima kontrak yang lebih baik jika berjaya memukau pengurusan Nakhon Ratchasima FC dengan persembahan permainannya.

Permergian Muhammad Shahrel yang merupakan pemenang anugerah penyerang tempatan terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan musim lepas didorong dengan keazaman untuk keluar dari zon selesa dan mencabar dirinya ke satu tahap yang lebih tinggi.