Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menilai semula dasar-dasar luar negara termasuk merunding semula perjanjian bekalan air dengan Singapura serta hubungan dengan Amerika Syarikat dan China.

Dalam temubual dengan Bloomberg Television baru-baru ini, Mahathir mengkritik perjanjian bekalan air sejak 1962 itu sebagai terlalu mahal sekaligus menambah ketegangan di antara kedua negara selepas beliau mengumumkan pembatalan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.

“Air adalah antara isu dengan Singapura yang kami perlu selesaikan.

“Kami perlu duduk dan berbincang dengan mereka seperti manusia yang bertamadun,” katanya dalam satu temubual di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Singapura mungkin paling terkesan berhubung isu ini kerana republik berkenaan bergantung hampir separuh daripada keperluan airnya dari Malaysia menerusi perjanjian yang dimeterai buat pertama kalinya pada 1927 dan kemudiannya ditandatangani pada 1962 dan akan berakhir pada 2061.

Dalam perjanjian yang dimeterai, Singapura diberikan 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen segelen manakala Malaysia akan membeli semula air tersebut pada harga 50 sen segelen.

Perjanjian tersebut telah menjadi pertikaian politik di antara kedua-dua negara selama ini.

Usaha untuk menghubungi Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura pada Selasa bagaimanapun tidak mendapat jawapan.

Berbeza dengan Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih berdiplomasi, Mahathir turut menyatakan hasrat untuk menilai semula pelaburan China, selain memanggil Presiden AS, Donald Trump sebagai “kepala angin”.

Semasa temubual tersebut, Mahathir berkata, beliau akan tetap mesra dengan Singapura dan negara-negara lain tetapi dalam masa yang sama akan memberi fokus kepada mendapatkan urus niaga yang adil dan memastikan keseimbangan.

“Saya rasa kita akan mendapat manfaat daripada satu sama lain.

“Kami memerlukan kepakaran Singapura. Ramai rakyat Singapura melabur di Malaysia kerana kosnya lebih murah,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Presiden Donald Trump, Mahathir menggelarkannya “kepala angin” dan mempunyai pendirian yang berubah-ubah.

“Beliau boleh menukar fikiran dalam masa 24 jam,” katanya sambil mengambil contoh keputusan Trump semasa bertemu dengan pemimpian Korea Utara, Kim Jong Un dalam satu sidang kemuncak di Singapura awal bulan ini.

“Apabila anda mempunyai seorang lelaki seperti ini, anda perlu berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut meminta semakan semula terhadap pelaksanaan pakatan perdagangan 11 negara (TPP) bagi melindungi kepentingan negara yang kecil dan lemah.

Beberapa terma yang dimasukkan AS sebelum ia keluar tidak memberi faedah kepada Malaysia, katanya tanpa mengulas lanjut.

“Saya tidak percaya kepada perdagangan bebas, satu perdagangan bebas mutlak kerana apabila berlakunya persaingan di antara yang lemah dan yang kuat, anda perlu melindungi pihak yang lemah,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga perlu mencari jalan untuk mengatasi dasar-dasar yang tidak menyebelahi negaranya sekiranya itu yang disasarkan oleh Trump.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast