Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri meraikan jaringan mereka dengan membuat gaya 'dua helang' dengan tangan mereka mewakili bendera Kosovo yang dilihat sebagai simbol penentangan.

MOSCOW – Switzerland bakal berdepan tindakan daripada FIFA kerana dua pemainnya, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri meraikan gol kemenangan 2-1 ke atas Serbia bermotifkan politik.

Cara Shaqiri dan Xhaka seolah-olah ditujukan kepada asal usul mereka di Kosovo, sebuah bekas daerah di Serbia yang mencetuskan ketegangan sebelum dan sewaktu perlawanan awal pagi Sabtu lalu.

Mereka melakukan gaya ‘dua helang’ dengan tangan mereka mewakili bendera Kosovo, yang dilihat sebagai simbol penentangan.

Shaqiri dan Xhaka bakal digantung dua perlawanan jika didapati bersalah.

Shaqiri diejek sepanjang permainan oleh penyokong Serbia dalam perlawanan berkualiti tinggi itu namun penyerang Stoke City itu membalasnya dengan jaringan kemenangan pada saat akhir.

Pada perlawanan itu, Serbia membuka jaringan awal  pada minit kelima tetapi Xhaka berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Shaqiri melengkapkan gol kemenangan Switzerland pada masa kecederaan.

Dengan kemenangan itu Switzerland menduduki tangga kedua Kumpulan E berkongsi empat mata dengan pendahulu, Brazil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast