Zulkifli Zainal Abidin
Zulkifli mengetip kad kehadiran di pejabatnya di Wisma Pertahanan Jalan Padang Tembak di sini.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin hari ini memulakan tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu secara rasmi.

Beliau yang hadir tepat jam 9 pagi tadi di Wisma Pertahanan Jalan Padang Tembak disambut Kawalan Kehormatan Utama yang memberikan tabik hormat di Padang Kawad, Dataran Wisma Pertahanan, lapor BH Online.

Beliau turut membuat pemeriksaan barisan sebelum masuk ke bangunan Wisma Pertahanan dan mengetip kad kehadiran jam 9.10 pagi.

Zulkifli kemudiannya masuk ke pejabat dan melakukan simbolik memulakan tugas.

Beliau dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 menggantikan Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam satu Majlis Serah Terima Tugas pada 20 Jun lalu.

Zulkifli, 59, pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011 sebelum dilantik Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2013. – MalaysiaGazette