Tan Sri S.A. Vigneswaran
Tan Sri S.A. Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta agar menimbangkan kemungkinan untuk melantik Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) P Waythamoorthy sebagai anggota Kabinet.

Calon Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, Waythamoothy antara individu penting yang memberikan kemenangan besar kepada kerajaan Pakatan Harapan terutamanya dalam mendapatkan sokongan masyarakat India, justeru peranannya wajar menerima pengiktirafan.

Suka atau tidak, jelas Vigneswaran, kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak boleh menafikan bahawa tsunami politik yang digerakkan Hindraf memberi impak penting pada senario politik negara.

“Sejak 2007, sehingga tsunami 2008. Hindraf mainkan peranan besar. Apabila beliau tidak boleh menerima cara kerajaan BN, beliau keluar tetapi perjuangan untuk masyarakat India diteruskan.

“Malah untuk kemenangan kali ini juga, jangan kita lupa. Waythamoorty bersama PHM banyak membantu kerajaan PH untuk menang besar sehingga membentuk kerajaan,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, MIC bersedia membantu menyokong perjuangan Waythamoorthy dalam mengangkat kualiti hidup masyarakat India negara.

“Saya berpendapat adalah sangat adil untuk beliau diberi peluang dan kami di dalam MIC akan tampil membantu beliau bersama masyarakat India lain,” katanya.

alt P. Waythamoorthy

Hindraf diharamkan pada 15 Oktober 2008 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Kerajaan pada masa itu menyifatkan Hindraf sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara serta keharmonian kaum selepas menganjurkan protes besar-besaran di Kuala Lumpur pada 25 Nov 2007 bagi memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwa terpinggir di negara ini.

Pada hakikatnya, Hindraf secara realiti telah menyumbang kepada protes terbesar komuniti India di Kuala Lumpur pada 2007 apabila puluhan ribu orang turun ke jalan raya kerana membantah perobohan kuil Hindu, serta keadaan sosioekonomi masyarakat itu di negara ini.

Susulan protes, pemimpin utama Hindraf termasuk P Uthayakumar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hanya dibebaskan pada 2009.

Ketika itu Waythamoorthy hidup dalam buangan di United Kingdom dan terbabit dalam saman ke atas kerajaan UK atas keadaan masyarakat India di Malaysia.

Dr Mahathir sebelum ini dipetik sebagai berkata, beliau menjangkakan menubuhkan kabinet terdiri daripada 29 kementerian, berkurangan dari 35 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Majlis mengangkat sumpah anggota kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan Isnin depan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast