KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berpegang teguh dengan keputusannya terhadap Suasa Airlines dan Eaglexpress Air Charter Sdn.Bhd yang operasinya dibatalkan untuk melindungi pengguna dan menyumbang ke arah membangunkan industri penerbangan yang berdaya tahan.

Oleh itu Mavcom menyangkal dakwaan oleh ketua pegawai eksekutif Suasa, Kapten Sheikh Salleh Abod dan Presiden Eaglexpress, Kapten Azlan Zainal Abidin bahawa di bawah pentadbiran terdahulu, suruhanjaya itu memberi layanan secara tidak adil kepada mereka sehingga mengakibatkan kerugian ratusan juta.

Mavcom dalam satu kenyataan menegaskan pematuhan undang-undang dan peraturan adalah keperluan fundamental untuk penyertaan dalam industri dan menyatakan bahawa pada Januari tahun ini, Suasa Airlines didenda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang kerana beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah.

Syarikat penerbangan itu telah mengendalikan penerbangan komersil tidak berjadual dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 22 Julai 2016 membawa 140 penumpang atas alasan mengadakan penerbangan demontrasi walaupun permohonannya untuk mengendalikan penerbangan ditolak kerana syarikat penerbangan itu tidak memiliki ASP.

Mengenai Eaglexpress, MAVCOM berkata, ASP syarikat itu dibatalkan kerana gagal menukar kedudukan pemegang saham negatifnya, meningkatkan rizab tunainya kepada RM30 juta dan menyelesaikan isu gaji yang telah lama berlarutan dan faedah pekerja yang berkaitan.

Media hari ini melaporkan Kapten Sheikh Salleh menyatakan sebaliknya bahawa Suasa Airlines telah memperoleh ASP dari Jabatan Penerbangan Awam untuk mengendalikan penerbangan ke Langkawi dan diberitahu untuk membayar denda dengan jaminan satu lagi lesen akan diberikan.

Bagaimana, sehingga hari ini, syarikat penerbangan itu belum menerima ASP.

Sementara itu, Kapten Azlan dilaporkan berkata, rizab berjumlah RM30 juta adalah untuk memastikan dana yang mencukupi bagi pembayaran pampasan kepada penumpang sekiranya berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Bagaimanapun, beliau berkat,a Eaglexpress adalah syarikat penerbangan sewa khas yang memajak pesawat dan menyediakan penyelenggaraan dan kru kepada syarikat penerbangan lain termasuk Saudi Airlines dan pihak-pihak yang menggunakan khidmat syarikat itu bertanggungjawab bagi pampasan kepada penumpang.

Beliau juga mendakwa Mavcom enggan memberi lanjutan untuk memenuhi keperluan tersebut, menyebabkan reputasi syarikat itu mengalami kerosakan dan kerugian. – Bernama