Jeyakumar Devaraj
Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jeyakumar Devaraj bercakap pada sidang media mengenai masalah kerakyatan yang berlarutan sekian lama dan ada mangsa menghadapinya sejak 20 tahun lalu di Ibu Pejabat Parti Sosialis Malaysia, Jalan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa agar kerajaan melonggarkan prosedur pemberian kerakyatan kepada mana-mana individu yang dibesarkan di rumah kebajikan tanpa dokumen kelahiran. 

Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, Jeyakumar Devaraj berkata, masalah kerakyatan menjadi isu yang sentiasa gagal ditangani apabila melibatkan anak-anak yang ditinggalkan ibu bapa kandung tanpa dokumen kelahiran. 

Akhirnya anak yang dibesarkan di rumah kebajikan ditinggal sehelai sepinggang dan  menjadi warga asing di negara sendiri, katanya. 

“Individu-individu kumpulan ini memerlukan pengubahsuaian prosuder operasi standard (SOP) di pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerana setakat ini SOP JPN untuk kes-kes dalam kumpulan ini tidak dapat diselesaikan masalah mereka,” katanya pada sidang media hari ini. 

Tambah bekiau, kandungan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bapa kanak-kanak yang merupakan warga Malaysia turut menimbulkan kesukaran kepada kanak-kanak itu apabila ibunya adalah warga asing. 

“Harus diguna untuk gubal SOP untuk meluluskan kewarganegaraan untuk mana-mana kanak-kanak yang lahir di Malaysia dan mempunyai bapa warga Malaysia,” tambahnya. 

Jeyakumar pada sidang media yang sama turut membawa Ragu Rajamani, 35, yang masih lagi tidak mempunyai kad pengenalan diri kerana dibesarkan di Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar kerana tidak memiliki dokumen kelahiran. 

Beliau yang dibesarkan di situ sejak berumur empat tahun menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ragu berkata, rumah kebajikan yang dihuninya gagal menguruskan pengenalan dirinya sehingga kini Ragu hidup seperti seorang warga asing.

alt MGF27062018_SIDANG MEDIA PSM13(1)
Mangsa yang bekerja sebagai guru, Ragu Rajamani menunjukkan kad pengenalannya yang berwarna hijau, yang dikeluarkan untuk warga asing. foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2018

 “Kalau saya bukan rakyat sini sudah tentu hospital yang urus semasa saya dijumpai akan ada rekod saya, saya tidak ada suntikan vaksinasi BCG ke contohnya, DNA saya semua itu boleh tahu, tapi kenapa JPN masih menganggap saya orang luar?” katanya. 

Sehungan itu Ragu tidak menolak bahawa mana-mana rumah kebajikan perlu memainkan peranan penting bukan sahaja menjaga anak-anak yang dibuang bahkan perlu memastikan kesemua mereka mempunyai dokumen kelahiran dan pengenalan diri. 

“Saya tidak mahu jadi bebanan mana-mana pihak, sehingga kini saya tidak boleh ambil lesen, sekolah hanya sekadar Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM) dan akhirnya menjadi buruh yang tidak ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya. 

Nasib yang sama dihadapi oleh Hashimah Abdullah, 35, yang dibesarkan di pusat kebajikan namun sehingga kini beliau masih tidak mendapat hak kerakyatan.

Hashimah Abdullah
Hashimah Abdullah

“Sampai sekarang saya berurusan ke JPN, tapi mereka kata tidak boleh buat apa-apa sebab saya dari kecil tidak ada dokumen, sepanjang hidup saya cuma cuba menguruskan perkara ini tetapi tidak selesai,” ujarnya. – MalaysiaGazette