Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time yang memaparkan gambar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya dua tahun lepas.

Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Sivarasa

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan Sivarasa selaku Orang Kena Saman (OKS) daripada kedua-dua pertuduhan berkenaan,” kata hakim itu.

Terdahulu, Mohd Sophian berkata pihak OKS telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 20 Jun lepas untuk menggugurkan kesemua pertuduhan yang dihadapi OKS.

“Pihak AGC telah mempertimbangkan representasi itu dan bersetuju untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan berkenaan,” katanya.

Pada 15 April 2016, Sivarasa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time yang memaparkan gambar Najib di laman Facebooknya, Mac 2016.

Dia menghadapi dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook ‘Sivarasa Rasiah’ dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sivarasa, 62, yang juga seorang peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan pada 7.41 malam, 22 Mac 2016 dan 4.59 pagi, 23 Mac 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac 2016.

Sementara itu, Sivarasa yang diwakili peguam M.Puravalen ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pendakwaan khususnya pihak AGC yang mempertimbangkan permohonan pihak kami untuk menarik balik pertuduhan ini,” katanya. – Bernama