Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto AFIQ RAZALI, 23 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun bank ibu pejabat UMNO dan juga di Selangor, dakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden itu berkata, beliau menerima panggilan daripada badan pencegahan rasuah itu bagi memaklumkan langkah membekukan akaun tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan membekukan beberapa akaun UMNO di negeri lain.

“Hampir pasti selepas ini SPRM akan bekukan akaun UMNO Johor juga,” beliau dipetik sebagai berkata dalam majlis hari raya di Johor Bahru hari ini.

Ahmad Zahid berkata, tidak mustahil Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO.

“Tidak ada jaminan pemimpin UMNO semua peringkat daripada Majlis Tertinggi, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan mungkin bekas Menteri Besar tidak akan disiasat oleh SPRM,” kata beliau.

UMNO ketika ini sedang menjalankan pemilihan parti dan ahli parti akan memilih pucuk pimpinan baharu pada 30 Jun ini. – MalaysiaGazette