Replika Tun Razak Exchange (TRX) City di Galeri TRX, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – TRX City Sdn. Bhd. (TRXC), pemaju utama projek Tun Razak Exchange (TRX) kini dalam rundingan dengan beberapa pelabur tempatan dan asing berpotensi untuk meninjau peluang pelaburan dalam projek bernilai RM40 bilion itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib bagaimanapun enggan mengulas jumlah syarikat terlibat kerana rundingan masih lagi pada peringkat awal.

“Kami menerima banyak permintaan syarikat luar dan asing untuk melihat potensi pelaburan di TRX.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana ia masih dalam rundingan awal, “katanya.

Beliau berkata demikian pada talimat media mengenai maklumat terkini pembangunan TRX di TRX Gallery di sini hari ini.

Ditanya kesan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) ke atas TRX, Azmar menegaskan, sentimen pelabur tidak terjejas sebaliknya menarik lebih banyak perhatian di kalangan negara luar.

alt MGF28062018_TRX HUMAN INTEREST_03
Seorang pekerja pembinaan membuat kerja-kerja di tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

Malah jelas beliau, TRX semakin meraih keyakinan tinggi pelabur berpotensi selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memberi jaminan mengamalkan ekonomi terbuka dengan menggalakan pelaburan langsung asing.

“Kerajaan secara jelas telah menjadikan projek TRX diasingkan daripada 1MDB dan telah dipindah milik kepada Kementerian Kewangan.

“Sebab itu projek ini diteruskan dan tidak berdepan masalah pelabur. Malah kami telah menerima banyak pertanyaan daripada pelabur tempatan dan asing untuk mencari peluang pelaburan di TRX,” katanya.

TRXC adalah pemilik dan pemaju induk dua projek hartanah yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan 1MDB. Dua projek tersebut merangkumi TRX, seluas 28.3 hektar dan Bandar Malaysia seluas 196.6 hektar.

Sejak tahun 2012, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM3.68 bilion melalui jaminan pinjaman, pemberian pendahuluan, pemindahan dana dan pembelian tanah daripada TRXC.

Daripada jumlah RM3.68 bilion tersebut, RM3 bilion telah diselewengkan oleh 1MDB dan sebahagian besarnya digunakan untuk membayar hutang yang telah mengakibatkan TRXC kekurangan dana untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemaju induk projek TRX. – MalaysiaGazette