Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelancongan domestik Malaysia merekodkan pencapaian tertinggi bagi bilangan ketibaan pelawat dan perbelanjaan pelancongan pada tahun lalu.

Seramai 205.4 juta pelawat domestik1 direkodkan pada 2017 dengan peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding 189.3 juta pada 2016.

Sementara itu, bilangan perjalanan meningkat daripada 253.9 juta perjalanan pada 2016 kepada 276.1 juta perjalanan, kata Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Perbelanjaan pelancongan domestik kekal merekodkan pertumbuhan dua digit, iaitu 11.1 peratus pada 2017 (2016: 10.2%). Dari segi nilai, sejumlah RM83,103 juta telah dibelanjakan bagi pelancongan domestik pada 2017 berbanding RM74,773 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Membeli-belah kekal mencatatkan peratus sumbangan tertinggi bagi komponen perbelanjaan pelawat domestik, iaitu 36.3 peratus.

Melawat saudara-mara dan rakan mencatatkan peratus sumbangan tertinggi pada 2017, iaitu 41.9 peratus. Ini diikuti oleh membeli-belah (31.1%) dan percutian/ mengisi masa lapang/ berehat (13.2%).

Menurutnya, Selangor merekodkan kedatangan pelawat domestik tertinggi, iaitu 25.5 juta, diikuti oleh Perak (20.1 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (19.0 juta), Sabah (17.8 juta) dan Sarawak (17.7 juta).

Pengangkutan darat kekal menjadi mod pengangkutan utama yang digunakan oleh pelawat domestik pada 2017, iaitu sebanyak 97.6 peratus.

Pada 2017, 68.1 peratus pelancong memilih untuk menginap di rumah saudara-mara dan rakan. Ini diikuti oleh penginapan di hotel (20.5%), apartmen (4.6%) homestay/ rumah percutian (3.5%), chalet (2.5%) dan rumah rehat (0.8%).

Majoriti pelawat domestik terdiri daripada kumpulan umur 25 hingga 39 tahun dengan sumbangan sebanyak 39.1 peratus. Ini diikuti oleh pelawat domestik berumur 40 hingga 54 tahun (26.3%), 15 hingga 24 tahun (19.6%) dan 55 tahun dan ke atas (15.0%).

Pelawat domestik mengikut kelas pendapatan isi rumah di antara RM1,001 hingga RM3,000 sebulan merekodkan sumbangan tertinggi, iaitu 34.7 peratus. Ini diikuti oleh pelawat yang berpendapatan RM3,001 hingga RM5,000 sebulan (23.4%) dan RM10,001 dan ke atas sebulan (22.5%). – MalaysiaGazette