KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kurang siuman didakwa merupakan individu yang bertanggungjawab membuang sampah keluar dari sebuah bas yang sedang bergerak di Kuala Terengganu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mara Liner Sdn. Bhd. yang merupakan operator perkhidmatan myBass Kuala Terengganu yang dikaitkan dalam insiden itu berkata, lelaki kurang siuman itu bertindak demikian setelah mendakwa ada bom di dalam tong sampah yang terdapat di dalam bas yang dinaikinya.

“Pihak pengurusan telah membuat siasatan ke atas perkara tersebut dan mendapati individu lelaki kurang siuman telah menaiki myBass yang dipandu oleh pemandu myBass.

“Secara spontan individu terbabit telah menolak pintu penumpang dan terus membuang sampah tersebut di tengah jalan berdekatan lampu isyarat sekitar Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Selepas membuang sampah tersebut, individu itu telah menarik semula pintu bas untuk ditutup,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara yan tidak dijangka itu telah menyebabkan pemandu terpinga-pinga dan kemudian meneruskan pemanduannya seperti biasa.

Bagaimanapun katanya, pemandu ada menegur dan memberi peringatan kepada individu terbabit untuk tidak mengulangi perkara yang mencemar imej syarikat.

“Namun individu terbabit hanya ketawa dan tidak mengendahkan peringatan tersebut sebelum lelaki itu turun daripada bas kurang 500 meter dari tempat dia membuang sampah itu.

“Sebagai operator myBass Terengganu, Mara Liner Sdn. Bhd. merasa kesal dengan kejadian ini dan memastikan perkara yang mencemar imej syarikat tidak akan berulang lagi,” ujar kenyataan itu lagi.

Tular di laman sosial apabila seorang pengguna jalan raya merakam insiden tersebut menerusi kamera yang dipasang di bahagian belakang kenderaannya.

Rakaman itu kemudiannya dimuat naik ke laman sosial dan dikecam netizen.

Ramai yang berpendapat sikap yang ditunjukkan oleh individu yang membuang sampah keluar dari bas itu sebagai tidak mempunyai sivik. – MalaysiaGazette