Seorang pengunjung kedai makan mengikuti debat dengan calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah secara langsung menerusi Astro Awani. foto AFFAN FAUZI, 29 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah meminta ahli-ahli perwakilan memilih calon terbaik untuk menerajui UMNO.

Pemimpin yang dipilih itu mestilah calon yang dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, membangkitkan semangat perjuangan dan menjadikan parti itu kekal relevan.

Calon Presiden UMNO itu berkata, calon tersebut mestilah menepati kehendak generasi akan datang dan mampu melaksanakan keperluan orang muda.

Ku Li percaya, ini semuanya boleh dilakukan jika parti itu dapat mengembalikan semula kredibiliti dan integritinya.

“Itu penting kerana kita sudah menempuh gelombang yang menyebabkan kita kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya, kita hilang kuasa, pusat lebih banyak lagi. Tinggal dua negeri sahaja dan oleh itu UMNO perlu ada kredibiliti dan integriti.

“Maka, pemilih-pemilih mesti fikir sedalam-dalamnya. Tidak kira kawan, tidak kira siapa. Asalkan mereka boleh memastikan UMNO relevan, UMNO kekal untuk generasi akan datang. Untuk negara dan untuk orang Melayu.

“Ini parti keramat, bukan parti sebarangan kerana ia dilahirkan semasa orang Melayu bergerak kepada kemerdekaan, menolak Malayan Union dan sebagainya. Dan, kita berjaya sepanjang masa,” katanya dalam debat anjuran Astro Awani.

Lantaran itu, para perwakilan perlu memastikan parti tersebut diterajui oleh kepimpinan yang boleh memberi wawasan pada masa depan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, UMNO perlu dibersihkan agar ia dapat kekuatannya kembali dan kepercayaan rakyat.

“Jika ia dapat dicapai UMNO boleh berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.