Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengesahkan terdapat pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu

PULAU PINANG – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengesahkan terdapat pemimpin UMNO yang menawarkan diri untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya lanjut berhubung dakwaan itu sebaliknya hanya menjelaskan akan mendedahkan mengenai perkara tersebut kelak.

Namun, tegas Mohamad yang juga Menteri Pertahanan, PH tidak akan sewenang-wenangnya menerima mana-mana pemimpin UMNO yang berhasrat untuk menyertai gabungan politik berkenaan.

“Jika ahli biasa UMNO yang ingin menyertai PH tidak ada masalah, tetapi jika di peringkat pemimpin memerlukan perbincangan lanjut dalam kalangan pemimpin parti PH.

“Ini kerana wujud beberapa perkara yang perlu dilihat antaranya sama ada pemimpin UMNO itu memerlukan jawatan tertentu sekiranya menyertai PH,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Amanah Pulau Pinang di sini Tasek Gelugor di sini hari ini.

Beliau ditanya berhubung tindakan beberapa pemimpin UMNO yang bertindak keluar daripada parti selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikaitkan mahu menyertai PH.

Sebelum ini, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meskipun PH pada mulanya enggan menerima mana-mana bekas ahli UMNO menyertai gabungan tersebut.

Malah, tindakan Ahli Parlimen UMNO Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar parti itu serta terbaharu bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlime Masjid Tanah turut dikaitkan dengan dakwaan akan menyertai PH. – MalaysiaGazette