Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi pertandingan lima penjuru jawatan itu dalam pemilihan perwakilan malam tadi.

Beliau yang mendapat jumlah undi kedua tertinggi, turut mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh Hamzah kerana telah menawarkan kebijaksanaan dan pengalamannya sebagai seorang negarawan.

Khairy yang lebih mesra dengan panggilan KJ turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hassan yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya membanggakan warga Rembau dan orang Negeri Sembilan.

“Selepas ini, saya akan memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Ahli Parlimen.

“Saya berharap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama barisan baharu kepimpinan UMNO akan dapat melaksanakan segala idea bernas yang telah dicadangkan dalam pemilihan kali ini, tidak kira daripada siapa dan semoga perubahan yang akan kita laksanakan dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya dalam ucapan tahniah yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau malam tadi.

Dalam pemilihan perwakilan itu, Ahmad Zahid meraih 93 undi bahagian, sementara pencabar terdekatnya, KJ memperoleh 51 undi dan Tengku Razaleigh hanya mendapat 23 undi bahagian.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setelah 31 tahun, UMNO menyaksikan satu keterbukaan yang menyegarkan apabila jawatan tertinggi parti iaitu Presiden telah dipertandingkan dengan amat demokratik.

Katanya, beliau bangga kerana telah menjadi sebahagian daripada sejarah ini apabila diberi peluang untuk bersaing dengan Ahmad Zahid dan Tengku Razaleigh untuk jawatan Presiden.

“Bagi barisan jentera saya serta para penyokong, jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada anda semua.

“Begitu juga dengan rakyat Malaysia secara keseluruhan yang telah mengikuti pemilihan UMNO kali ini dengan dekat. Terima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat anda semua,” katanya. – MalaysiaGazette