Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – UMNO Bahagian Sungai Petani bergolak apabila Naib Ketua UMNO Bahagian serta ketua tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri – masing-masing melepaskan jawatan dimenangi menerusi pemilihan bagi penggal 2018-2021, yang berlangsung semalam, berkuat kuasa serta merta.

Pengumuman itu dibuat Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Muhamad Effendi Mashum pada satu sidang media tergempar yang diadakan di sebuah hotel di sini, petang tadi.

Muhamad Effendi berkata keputusan itu dibuat sebulat suara setelah perbincangan dilakukan antara semua yang terlibat, namun kesemuanya akan terus setia serta mahu memperjuangkan UMNO sebagai anggota biasa.

“Keputusan ini dibuat atas alasan ketidakwajaran kepimpinan bahagian yang baharu diberi mandat…ia dibuat secara ikhlas, telus dan teliti tanpa dipengaruhi atau desakan mana-mana pihak.

“Berdasarkan keputusan diperoleh, selepas perbincangan serius dan penilaian terbaik dilakukan, saya selaku Naib Ketua UMNO Bahagian bersama-sama Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri serta anggota jawatankuasa melepaskan jawatan disandang serta merta,” katanya.

Beliau berkata peletakan jawatan secara rasmi akan dibuat dalam masa terdekat dan dua pertiga daripada anggota jawatankuasa sayap, mengambil langkah melepaskan jawatan yang disandang, menjadikan jumlah anggota yang melepaskan jawatan melebihi 40 orang.

Barisan kepimpinan yang turut melepaskan jawatan ialah Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad; Ketua Pemuda, Mohd Rahmat Darus dan Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff.

Pemilihan UMNO Bahagian Sungai Petani berlangsung semalam menyaksikan Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, yang juga kakak kepada Mashitoh, dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani selepas mengalahkan penyandang, Datuk Abd Rahim Saad, manakala jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dimenangi Mohd Rodhi Rejab.

— BERNAMA