1MDB

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas (Petugas Khas) 1MDB telah membekukan sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion.

Ia melibatkan akaun-akaun milik individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 26 dan 29 Jun 2018 lalu.

Akaun yang dibekukan turut membabitkan seramai 81 individu serta sebanyak 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.

Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB, menurut kenyataan Petugas Khas hari ini.

Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pembabitan pihak-pihak terbabit.

Siasatan dijalankan secara menyeluruh dengan berlaku adil kepada semua pihak yang terbabit.

“Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas 1MDB berharap semua pihak yang terlibat akan memberi kerjasama dengan pihaknya,” katanya.

Pasukan Petugas Khas 1MDB juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang bakal dibekukan selepas ini.

Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan, dan oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak. – MalaysiaGazette