Mohd Hairi Mad Shah
Mohd Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru mendesak Ahli Parlimen yang bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas meletak jawatan dan memberi laluan pilihan raya kecil diadakan semula dikawasan mereka tandingi.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pemimpin yang menang bertanding atas tiket UMNO semasa pilihan raya umum dan kemudiaan keluar parti sebagai pengkhianat kepada pengundi yang memilih mereka walhal kerusi yang dimenangi tersebut adalah atas kepercayaan rakyat memilih UMNO semasa pilihan raya lalu.

“Apa pun alasan diberikan, Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan pemimpin ini sebagai ‘muka tembok’ dan mengkhianati perjuangan parti yang mereka laungkan sebelum ini sehingga meninggalkan parti tatkala UMNO dalam tahap paling bawah ketika ini.

“Mereka dipilih menerusi sistem Pilihan Raya Umum yang menyaksikan rakyat memberi undi kepada mereka hasil dana peruntukan parti yang mengangkat mereka sebagai calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau membidas pemimpin tersebut sebagai ‘muka tembok’ dan sepatutnya melepaskan jawatan mereka kerana mereka sebenarnya tidak menghormati prinsip demokrasi pilihan raya negara.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dengan tegas MENCABAR semua pemimpin ‘muka tembok’ ini untuk meletakkan jawatan yang dipilih menerusi sistem demokrasi pilihan raya umum.

“Ini bagi membolehkan rakyat memilih semula calon wakil rakyat dan parti pilihan mereka, bukannya membiarkan diri sebagai pengkhianat menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan anda,” katanya lagi.

Baru-baru ini, selepas pemilihan UMNO yang berakhir 30 Jun lalu, bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar UMNO dan menjadi Ahli Parlimen Bebas susulan keputusan pemilihan parti tersebut.

Dengan pengumuman Mas Ermieyati itu, UMNO kini mempunyai 51 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, selepas dua Ahli Parlimen UMNO lain turut bertindak keluar UMNO sebelum ini. – MalaysiaGazette