Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB tidak pernah terlibat dengan tindakan pembekuan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

Dalam kenyataan di sini, Pasukan Petugas Khas 1MDB berkata, yayasan tersebut tiada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan.

Sehubungan itu, semua pihak diminta agar tidak mengaitkan isu terbabit dengan siasatan kes 1MDB.

Baru-baru ini, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendakwa akaun sebuah pertubuhan amal yang dinaunginya dibekukan tanpa sebarang makluman.

Beliau mempertikaikan tindakan Bank HSBC membekukan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) selepas mereka tidak mengisytiharkan aset ahli jawatankuasanya.

Kata Tunku Azizah, HSBC telah menulis pada Disembar meminta beliau mengisytiharkan aset ahli jawatankuasa.

Tunku Azizah berkata, pembekuan akaun itu hanya diketahui selepas cek TAFF dikembalikan HSBC. – MalaysiaGazette