Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersalaman dengan Pengarah Negara Bank Dunia, Dr. Mara Warwick pada Pelancaran 18th Malaysia Economic Monitor di Dewan Persidangan 1, Sasana Kijang, Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2018
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersalaman dengan Pengarah Negara Bank Dunia, Dr. Mara Wick pada Pelancaran 18th Malaysia Economic Monitor di Dewan Persidangan 1, Sasana Kijang, Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ini didorong oleh asas makroekonomi yang kukuh termasuk peningkatan kadar pemilikan pekerjaan dan upah di samping pertambahan eksport.

Pengarah Negara bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand Bank Dunia, Mara Wick berkata, apa yang penting ketika ini adalah bagaimana untuk memastikan semua rakyat merasai manfaat daripada kejayaan negara.

“Malaysia adalah sebuah kisah kejayaan seperti yang anda boleh lihat ia mempunyai ekonomi yang kukuh dan sedang menuju sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Tetapi apa yang kami tekankan di dalam laporan tersebut adalah bagaimana untuk melihat kualiti pertumbuhan, inklusif dan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Pemantau Ekonomi Malaysia: Mengemudi Perubahan di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam laporan tersebut, pengukuhan ekonomi Malaysia akan dipacu oleh perbelanjaan isi rumah, kadar pemilikan pekerjaan dan sentimen pengguna yang stabil semasa perubahan kerajaan baru-baru ini. – MalaysiaGazette