Datuk Saifuddin Abdullah.
Datuk Saifuddin Abdullah.
PUTRAJAYA – Isu hak asasi manusia dan pembangunan seimbang akan terus menjadi isu dasar utama yang akan ditumpukan Malaysia peringkat antarabangsa.
Menteri Luar Negeri yang baharu, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya menyenaraikan beberapa cara untuk mencapai matlamat berteraskan nilai demokrasi, keterangkuman, kebebasan, tadbir urus yang baik, hak asasi manusia dan pembangunan seimbang dan sebagainya.
“Beberapa fasa akan jadi tumpuan termasuk Wisma Putra, antaranya kita akan meneruskan dasar-dasar yang telah terjalin selama ini dengan negara luar kerana ingin berbaik baik dengan semua negara.
“ASEAN akan menjadi keutamaan Malaysia termasuk dasar-dasar tentang keberkecualian yang sentiasa menjadi dasar luar kita untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dua hala bersama rakan serantau.
“Disamping itu juga, akan lihat beberapa penambahbaikan misalnya dalam isu kebebasan hak asasi manusia, pembangunan seimbang dan alam sekitar,” katanya dalam sidang media di Wisma Putra hari ini.
Kata Saifuddin, selepas memasuki pejabat beliau di Wisma Putra pukul 3.37 petang dengan disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar,  Datuk Seri Ramlan Ibrahim sebelum meneruskan agenda dengan taklimat selama 45 minit bersama Ketua-Ketua Jabatan di Wisma Putra.
Katanya, tugasan pertama beliau bermula dengan taklimat daripada KSU itu bersifat komprehensif dan menyeluruh meliputi fungsi dan peranan Wisma Putra selain prinsip dasar luar yang telah diamalkan oleh kerjaan selama ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menjelaskan, beberapa penambahbaikan melibatkan isu yang diselubungi hak asasi manusia juga akan diteliti.
Katanya negara telah menandatangani tiga konvensyen antarabangsa melibatkan hak asasi manusia iaitu Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak, Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya.
“Kita komited untuk menandatangani enam lagi konvensyen pada masa akan datang,” ujar beliau.
Justeru katanya, dalam mana-mana negara di dunia ini, dasar luar juga memainkan peranan dengan bergantung kepada arah tuju dan pemikiran ketua kerajaan.
Dalam konteks berkenaan, tegas beliau, Wisma Putra akan meneliti dan mengikuti rapat perbincangan yang bakal menyusul termasuk dengan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan akan menerima nasihat beliau dalam banyak hal.
Beliau turut ditanya mengenai isu kenaikan harga visa India untuk pelancong dan warganegara Malaysia yang melancong ke India sehingga RM460 untuk tempoh setahun dan tindakan kementerian dalam perkara itu.
Sebagai menjawab pertanyaan itu, Saifuddin berkata perkara itu telah dibincangkan kepadanya oleh pegawai-pegawai di kementerian tersebut.
“Isu itu dibincangkan pegawai-pegawai kami (Wisma Putra). Kami akan meneliti butiran kenaikan visa serta langkah menangani isu itu dengan baik,” ujarnya lagi.
Saifuddin mengangkat sumpah sebagai anggota Jemaah Menteri di hadapan Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara 11 pagi tadi.- MalaysiaGazette