Khairy Jamaludddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tahniah @SyedSaddiq atas pelantikan sebagai Menteri Belia & Sukan yang baharu. Saya doakan saudara dapat membawa kejayaan yang lebih besar kepada @KBSMalaysia,” tulis beliau dalam laman Twitternya.

Syed Saddiq mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia sebagai Menteri Belia dan Sukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, hari ini.

Khairy yang tewas dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada Sabtu, memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) selama lima tahun dari 16 Mei 2013 hingga 10 Mei lalu.

Sebelum ini beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau pernah meramalkan Syed Saddiq bakal dilantik sebagai menteri belia selepas Ahli Parlimen Muar itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette