KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak wajar dibubarkan kerana kewujudan badan itu mewakili suara ramai pengguna.

Industri penerbangan membabitkan pengguna yang besar, justeru peranan Mavcom sebagai ‘orang tengah’ amat diperlukan.

Pemerhati industri penerbangan, Ismail Nasaruddin berkata, industri penerbangan mempunyai pelbagai aduan dari aspek lapangan terbang, syarikat penerbangan, pengendalian darat dan udara, operasi, pengurusan dan pentadbiran.

Meskipun sudah ada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) namun jabatan itu mempunyai peranan yang menjurus kepada teknikal.

Antaranya mengenai isu-isu polisi, perlindungan, memantau operasi penerbangan yang membabitkan aspek pelesenan dan keselamatan.

Manakala, Kementerian Pengangkutan pula bertanggungjawab berhubung dasar-dasar seluruh pengangkutan yang ada.

“Semua agensi ada peranan masing-masing. Jadi mana salahnya kewujudan Mavcom sebagai badan pemantau kepada permasalahan dan aduan pelanggan.

“Kalau Mavcom dibubarkan, mana suara pengguna hendak disalurkan?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas pandangan dua syarikat penerbangan yang menggesa kerajaan membubarkan Mavcom baru-baru ini.

Ismail tidak menafikan memang setiap syarikat penerbangan menerima aduan penumpang tetapi sejauh mana ketelusan dan keseriusan mereka bertindak masih menjadi tanda tanya.

“Syarikat-syarikat penerbangan boleh ‘melarikan diri’ daripada melayan aduan atau rungutan penumpang jika tidak ada orang tengah yang memantau.

“Oleh sebab itu, adalah sangat malang jika Mavcom dibubarkan,” ujarnya.

Baru-baru ini, dua syarikat penerbangan itu ialah Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd dan Suasa Airlines Sdn Bhd.

AirAsia Berhad juga pernah mengemukakan cadangan berkenaan.

AirAsia mendakwa Mavcom tidak memahami ciri-ciri perniagaan penerbangan dan cuba mengawal semuanya menyebabkan sektor penerbangan terjejas.

Presiden Eaglexpress Kapten Azlan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suasa Kapten Sheikh Salleh Abod berkata, badan kawal selia itu tidak memainkan peranannya dalam menggalakkan industri penerbangan untuk berkembang sebaliknya membunuh industri.

Azlan dan Sheikh Salleh berpendapat Permit Perkhidmatan Udara (ASP), yang ketika ini diuruskan oleh Mavcom, harus dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sebelum penubuhan Mavcom, segalanya ditadbir di bawah CAAM bersama dengan Kementerian Pengangkutan dengan semua tugas dilaksanakan dengan cekap.

Mavcom ditubuhkan pada 1 Mac 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam di Malaysia. – MalaysiaGazette