Datuk Seri Mustafar Ali
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berucap pada Perhimpunan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. foto NIZAM ZAIN, 03 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tamat pada 30 Jun lalu meluluskan 75 peratus atau 364,966 permohonan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, program penggajian semula yang dijalankan sejak 15 Februari lalu itu bagaimanapun menolak 117,448 permohonan.

“Sepanjang program rehiring berlangsung seramai 744,942 orang PATI dan 83,919 majikan telah mendaftar dalam program berkenaan.

“Baki hampir 120,000 permohonan yang ditolak itu kita tawarkan menyertai Program Serah Diri secara sukarela atau Program 3+1 kembali ke negara masing-masing,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Program penggajian semula yang dijalankan Jabatan Imigresen dengan memberi permit kerja kepada PATI secara sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Antara sektor pekerjaan itu ialah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Mustafar berkata, operasi penguatkuasaan di seluruh negara yang dijalankan selepas tamat tempoh program itu menahan 1,285 PATI daripada pelbagai warganegara.

“Sepanjang tempoh 1 dan 2 Julai 2018 telah mengadakan 433 operasi penguatkuasaan.

“Dalam operasi itu mencatatkan tangkapan tertinggi adalah warga Bangladesh seramai 402 orang,” katanya lagi. MalaysiaGazette