Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak disenarai hitam agensi penguatkuasa itu susulan penyebaran perkara itu di laman media sosial, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemimpin UMNO itu masih tersenarai sebagai individu yang disenarai hitam seperti mana dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada agensi itu.

“Mana-mana permintaan daripada agensi penguatkuasa undang-undang contohnya polis atau SPRM meminta supaya mereka ini disenarai hitam, memang imigresen akan tadbirkan dengan mengenakan sekatan.

“Kalau mereka guna pasport untuk ke luar negara melalui pintu-pintu yang sah, memang mereka tidak akan lepas,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan JIM di sini, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran posting di laman media sosial semalam mendakwa nombor kad pengenalan Jamal yang disemak di dalam sistem imigresen mendapati tiada halangan daripada senarai hitam pihak berkuasa itu untuk ke luar negara.

Ini susulan penangkapan Jamal di selatan Jakarta oleh pihak berkuasa Indonesia semalam yang menimbulkan persoalan di mana rekod keluar masuk pemimpin UMNO itu gagal dikesan selepas didakwa bersembunyi di negara jiran, awal bulan lalu.

Mustafar berkata, walaupun pihaknya sudah menyenarai hitam Jamal daripada ke luar negara, namun pihaknya tidak dapat mengesan rekod keluar masuk pemimpin UMNO itu jika menggunakan laluan secara tidak sah.

“Kita tidak dapat tadbirkan kalau mereka melalui pintu-pintu yang tidak sah, contohnya terus naik bot pancung ke luar negara walaupun dalam masa sama Jamal Yunos disenarai hitam imigresen.

“Macam mana beliau ke luar negara itu (tidak dapat dipastikan) sebab itu semalam dilaporkan bahawa tangkapan telah dilakukan terhadap beliau di Jakarta Selatan.

“Dalam sistem imigresen kita akan tunjukkan di situ bahawa perlu pergi ke pejabat imigresen terdekat di mana mereka disenarai hitamkan,” katanya. – MalaysiaGazette