Datuk Seri Mustafar Ali
Datuk Seri Mustafar Ali

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen mensasarkan sifar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di depoh tahanan agensi penguatkuasa itu bagi menjimatkan kos perbelanjaan RM25 juta sebulan pada masa ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, negara tidak memerlukan PATI di dan ketegasan jabatan itu yang giat melakukan operasi menangkap dan menghantar mereka ke negara asal bagi memastikan perbelanjaan itu dapat dijimatkan.

“Sepatutnya kos itu boleh digunakan kepada tempat-tempat yang lain seperti pendidikan dalam negara, memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar dan anak-anak kita.

“Kosnya secara purata RM25 juta sebulan dan bayangkan setahun. Sebab itu ketegasan Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengusiran PATI dari negara ini

“Pengusiran tetap akan dilakukan dan pemutihan terkini yang tamat pada 30 Jun lalu tidak akan dilanjutkan, kita tak mahu keputusan flip flop dan alhamdulillah ketetapan ini kita laksanakan dalam penguatkuasaan (tangkapan),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan jabatan itu di sini, hari ini.

Beliau mengulas Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang tamat pada 30 Jun lalu telah meluluskan 364,966 permohonan daripada 744,942 orang.

Susulan penamatan program rehiring itu, pihaknya telah melancarkan Ops Mega 3.0 pada 1 hingga 3 Julai lalu dan membuat tangkapan seramai 1,224 PATI terdiri daripada 922 lelaki, 253 wanita dan 49 kanak-kanak termasuk 15 majikan.

Mustafar juga memberi amaran kepada majikan yang masih ingkar menyerahkan PATI bakal berdepan tindakan undang-undang kerana sikap berlenggah hanya akan merugikan negara.

“Saya memberi amaran kepada majikan yang masih berdegil dalam mana-mana sektor datang ke imigresen segera dalam soal pemulangan PATI ini.

“Kita ada program 3+1 untuk program pemulangan ke negara asal PATI ini. Jika tidak tindakan tegas undang-undang pasti diambil,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, kesemua 13 depoh tahanan yang ditadbir urus Imigresen di seluruh negara masih menempatkan sehingga 6,000 PATI dan jumlah ini akan bertambah secara mendadak apabila operasi tangkapan dilakukan.

“Apa yang lebih penting penggunaan pegawai imigresen di depoh-depoh, kita ada petugas 24 jam, kita nampak dalam soal kos bajet makanan, tetapi bajet untuk kos pegawai, bajet tadbir urus utiliti, pagar dan cctv, penyelenggaran depoh, ini masih bajet besar yang terpaksa ditanggung.

“Sebab itu sampai satu peringkat kita tak perlu lagi orang-orang di dalam depoh tahanan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette