Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kiri) menyerahkan tugas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Baru, Darell Leiking di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JULAI 2018.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kiri) menyerahkan tugas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Baru, Darell Leiking di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang baharu, Darell Leiking berjanji untuk meletakkan Malaysia sebagai nama besar dalam industri perdagangan.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai menteri tidak mempunyai apa-apa agenda peribadi untuk diperjuangkan.

Tegas beliau, agenda negara menjadi keutamaannya membantu kerajaan memacu ekonomi negara pada masa akan datang.

“Hari ini merupakan hari pertama di MITI dan banyak soalan tidak boleh dijawab lagi.

“Namun keutamaan saya untuk meletakkan Malaysia sebagai nama besar dalam industri perdagangan.

“Saya tiada agenda peribadi dan pelantikan saya ini demi agenda negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah tugas oleh bekas menteri MITI, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Turut hadir timbalannya, Dr Ong Kian Ming.

Darell merupakan Ahli Parlimen Penampang merangkap Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ditanya kekeliruan peranan MITI dengan Kementerian Industri Utama, beliau berkata, isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

 

Darell juga memohon masa untuk menjawab soalan berkaitan semak semula pelaburan asing dari China oleh kerajaan Pakatan Harapan selain Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Jepun baru-baru ini untuk dikaji semula. – MalaysiaGazette