Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak.
Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak.

IPOH – Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak.

Bekas Pengerusi DAP Perak itu dipilih selepas mendapat 31 undi mengalahkan dua calon lain iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Mohd Misbahul Munir Masduki yang memperoleh tiga undi dan bekas Timbalan Speaker DUN Perak Datuk Nasaruddin Hashim daripada Barisan Nasional (BN) menerima 25 undi.

Ngeh, 57, yang juga seorang peguam mengekalkan kerusi Parlimen Beruas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 27, 954 dalam pertandingan tiga penjuru.

Pelantikan speaker DUN kecoh hampir sejam selepas Setiausaha DUN Kamarulariffin Ayub memaklumkan sebanyak tiga nama calon speaker diterima hingga tarikh akhir pencalonan iaitu 26 Jun.

Bagaimanapun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru (BN) Datuk Abdul Manaf Hashim mempertikaikan perkara tersebut dengan menyatakan pihaknya dimaklumkan terdapat empat nama calon masing-masing dua daripada BN dan PAS manakala dua lagi daripada pihak kerajaan.

Abdul Manaf mahu setiausaha dewan mendedahkan nama calon keempat tetapi ia ditolak oleh Kamarulariffin.

Sementara itu, ADUN Behrang (Amanah) Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN selepas tiada nama lain dicalonkan untuk jawatan tersebut hingga tarikh akhir pencalonan.

Pada persidangan sehari itu juga, semua 59 ADUN mengangkat sumpah jawatan, didahului Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dihadapan Ngeh.

Persidangan kemudian ditangguhkan hingga ke tarikh yang belum ditetapkan.

Pada PRU14 yang lepas, Pakatan Harapan (PH) memenangi 29 kerusi DUN, BN (27) dan PAS (3).

PH, bagaimanapun mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 31 kerusi apabila dua ADUN BN menyatakan sokongan kepada gabungan tersebut.

— BERNAMA