Siti Aishah Shaik Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi PKR Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Ngeh Koo Ham sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Siti Aishah Shaik Ismail yang sepatutnya dilantik bagi jawatan itu terpaksa menarik diri dan namanya dihantar oleh PKR.

“Ini kerana DAP turut menghantar nama dan menamakan Datuk Ngeh sebagai calon mewakili DAP.

“Pelbagai hujah diberikan kepada DAP untuk memberikan laluan kepada keadilan memandangkan exco kerajaan negeri telah dimiliki oleh dap sebanyak lima posisi. Pelbagai hujah dinyatakan, dibawa untuk kewarasan pemimpin DAP tapi malangnya mereka berkeras sehingga malam semalam.

“Sehinggalah saya diminta menarik diri dari pencalonan ini maka dengan berat hati saya penuhi. Bukan kerana saya takut dan tunduk kepada DAP tetapi kerana saya tidak mahu mensia-siakan kerajaan rakyat yang terbentuk ini dan janganlah hanya kerana sikap tamak haloba kita dalam kedudukan, kuasa dan nama rakyat menjadi mangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan surat memaklumkan kepada semua pengerusi parti di Perak untuk memberikan ruang buat PKR namun yang angkuh tetap angkuh.

Siti Aishah juga mendakwa menerima daripada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang menyuruhnya menarik diri dari pencalonan dan menyatakan sokongn kepada Ngeh.

Beliau juga memaklumkan ada rombongan DAP yang diketuai oleh Nga Kor Ming mendesak dan memberi tekanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital agar bersetuju DAP diberi jawatan itu juga memaksanya menarik diri.

“Kemuncaknya malam tadi di kediaman MB Perak, pertemuan MB bersama ADUN dihadiri oleh Ngeh tanpa diundang.

“Biar apa sahaja hujah yang diberikan, DAP tetap mahukan posisi itu diberikan kepada mereka dengan alasan saya terlalu muda untuk ke posisi ini dan menggunakan alasan bahawa saya kurang mahir berbahasa Inggeris.

“Setelah bercakap dengan MB dan memikirkan tentang rakyat yang menjadi tuan dalam kerajaan ini,saya dengan berat hati bersetuju untuk menarik diri.

“Saya mungkin bukan ahli politik tua yang hebat dalam politik kononnya tetapi saya pemimpin muda yang diajar untuk tidak rakus dan mementingkan diri sendiri,” ujar Siti Aishah.- MalaysiaGazette