Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berucap pada Perhimpunan Agung Pekida Malaysia ke-23 di Bangunan UMNO Sungai Besar, Sungai Besar, pada Ahad lalu.
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berurusan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk membawa pulang Jamal
Md Yunos yang telah ditahan di republik berkenaan semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya menerima panggilan pasukan Polis Republik Indonesia (POLRI) yang memaklumkan mengenai tangkapan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu di Indonesia.
“PDRM sedang berurusan dengan pihak POLRI untuk menyelaraskan proses membawa pulang Jamal ke Malaysia.
“Ia bagi membolehkan proses tindakan undang-undang diambil ke atas beliau,” katanya sambil menjelaskan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Kenyataan Mohamad Fuzi itu menyusul setelah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan semalam mengesahkan tangkapan Jamal di negara jiran.
Jamal yang juga bekas calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu diburu PDRM kerana disiasat berhubung sembilan kes termasuk kesalahan senjata api.
Jamal melarikan diri ke Indonesia semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.
Jamal disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette