Jepun
Pemain Jepun kecewa berjalan keluar padang selepas kewas kepada Belgium 2-3 dalam pusingan kalah mati 16 pasukan.

ROSTOV-ON-DON, Rusia – Para pemain Jepun tidak dapat mengungkapkan kata-kata selepas pasukan mereka tewas kepada Belgium 2-3 pada pelawanan kalah mati kejohanan bola sepak Piala Dunia awal pagi tadi apabila hampir melakar sejarah mara ke suku akhir, kata jurulatih Jepun, Akira Nishino.

Belgium bangkit daripada ketinggalan dua gol dengan menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

“Saya memberitahu pemain untuk mandi kerana mereka hanya berdiri dan tidak berbuat apa-apa, kata Nishino yang berwajah sugul selepas jaringan Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan menerusi serangan balas yang berpunca daripada tendangan sudut Jepun dalam masa kecederaan.

“Saya tidak begitu mahu menerimanya dan ia adalah satu tragedi, namun saya perlu menerima kekalahan ini sebagai satu hakikat. Hati saya hancur luluh, sangat-sangat kecewa.

“Pemain saya bermain dengan baik, kami mampu mempamerkan permainan yang baik di atas padang tetapi sasaran kami untuk mara ke pusingan seterusnya tidak kesampaian, oleh itu saya tidak boleh menggelarnya satu kejayaan,” katanya seperti dipetik Reuters.

Selepas terselamat daripada penguasaan Belgium pada separuh masa pertama, Jepun mengejutkan pasukan Eropah itu pada separuh masa kedua dengan mendahului menerusi gol Genki Haraguchi (minit ke-48) manakala Takashi Inuimelebarkan jurang dengan rembatan jarak jauh pada minit ke-52.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Jepun kelihatan memecah kebuntuan melangkah ke suku akhir selepas kecundangan untuk mara ke pusingan tersebut dalam dua kejohanan sebelum ini, pada 2002 dan 2010, Jan Vertonghen dan Marouane Fellaini mengikat kedudukan 2-2 untuk Belgium pada minir ke-69 dan 74..

Anak didik Nishino selepas itu sedaya upaya cuba untuk kembali mendahului bagi mengelak bermain dalam masa tambahan namun mereka dihukum menerusi serangan balas pasukan lawan.

Jurulatih yang mengambil alih pasukan Jepun dua bulan sebelum Piala Dunia bermula selepas Vahid Halilhodzic dibuang berkata, dia dan bukan pemainnya yang harus dipersalahkan untuk kekalahan pada saat akhir itu.

“Apabila mereka (Belgium) menjaringkan gol saya bertanyakan diri saya sama ada saya mengawal permainan dan berpendapat saya perlu dipersalahkan dan bukannya pemain. Saya menyalahkan diri saya, saya mempersoalkan taktik saya.

“Saya mahu pemain saya mempunyai mentaliti yang berbeza daripada pasukan Jepun sebelum ini, saya berpendapat kami berjaya mempunyai mentaliti yang berbeza tetapi ada sesuatu yang hilang pada skil dan tenaga kami,” tambah beliau.

Belgium akan bertemu Brazil pada pertemuan suku akhir Jumaat ini. – Reuters