Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018
KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan mengemukakan lebih banyak pertuduhan sekiranya terdapat lagi kertas siasatan berkaitan skandal Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Sdn. Bhd daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai barisan pendakwaan ke atas Datuk Seri Najib Razak berkata, setakat hari ini bekas Perdana Menteri itu telah didakwa atas empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.
“Pendakwaan di mahkamah hari ini adalah susulan kertas siasatan pertama yang diterima tiga minggu lalu.
“Tiada sebarang keraguan bahawa lebih banyak pertuduhan akan menyusul selepas ini,” katanya dalam sidang media di Tingkat 5 Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Tommy berkata demikian apabila ditanya sama ada akan ada pertuduhan akan dibuat selain Najib.
Dalam perkembangan sama, beliau tidak pasti dalam soal SRC International namun sangat pasti akan ada lagi pertuduhan dalam soal 1MDB.
“Ini kerana keseluruhan isu berkenaan berkait dengan skop 1MDB. lebih banyak kertas siasatan dijangkakan daripada SPRM.
“Kita tahu apa yang berlaku sejak lima tahun lalu yang mana berlaku transaksi kewangan secara tersembunyi tetapi dijelaskan dengan kenyataan ringkas tanpa terperinci dalam soal 1MDB.
“Apabila selesai siasatan tersebut nanti, SPRM boleh mengemukakannya kepada kami untuk tindakan lanjut,” tegasnya lagi.
Ditanya mengenai riuh rendah sekumpulan penyokong Najib yang mengganggu beliau daripada mengadakan sidang media bersama pemberita, beliau mengaku terkejut dengan keadaan yang berlaku.
“Saya rasa ia patut berlaku dengan cara bertamadun. Saya sedih kerana sebenarnya menjangkakan soalan daripada pemberita namun tidak menjangkakan suasana riuh tersebut,” katanya.
Pagi hari ini NajibĀ  tidak mengaku atas empat pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi dan memminta dibicarakan.
Mahkamah membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu diikat Jamin dengan RM1 juta seorang penjamin.- MalaysiaGazette