Jamal Mohd Yunus
Jamal Mohd Yunus

KUALA LUMPUR –  Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunus yang ditahan Polis Metropolitan Wilayah Jakarta (Polda Metro Jaya) Isnin lalu, dibawa pulang ke negara ini menerusi penerbangan Malaysia Airlines jam 11 pagi ini.

Beliau yang berada dalam keadaan sihat, tetapi sedikit letih diwakili peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Menurut Mohd Imran, sepanjang Pengerusi NGO Malaysia itu di bawah tahanan Polda Metro Jaya, beliau dijaga dengan baik dan mendapat segala keperluan termasuk ubat-ubatan.

“Saya dibantu rakan peguam di sana, Adherie Zulfikri untuk menemui Jamal yang ditahan di Polda Metro Jaya, Jakarta sejak Isnin.

“Jamal melalui proses merakam keterangan dan dokumentasi di Polda Metro Jaya kira-kira jam 9.15 malam tadi (waktu Indonesia) dan diiringi serta dibawa ke Imigresen Indonesia untuk proses serta dokumentasi pihak Imigresen.

“Selepas semua proses itu selesai, Jamal akan dihantar pulang ke Malaysia hari ini (5 Julai 2018) oleh sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah berada di sini (Jakarta),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengesahkan penahanan Jamal oleh polis Indonesia kira-kira jam 6 petang waktu Malaysia.

Jamal, 48, yang didakwa atas tiga pertuduhan pada 25 Mei lalu, dikehendaki polis negara ini setelah hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri ketika polis dan peguamnya sedang melakukan dokumentasi ikat jamin terhadapnya.

Menurut Mohd Imran, proses penyerahan Jamal antara Polis Indonesia kepada PDRM dibuat pagi tadi dan akan berlepas dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada jam 11 pagi waktu Indonesia hari ini dengan pesawat MH710.

“Saya dan keluarga Jamal mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada pihak polis dan Imigresen Republik Indonesia yang telah menjaga serta mengurus penahanan Jamal dengan baik.

“Terima kasih juga kepada Kedutaan Malaysia yang membantu dalam penyelarasan penghantaran pulang beliau ke Malaysia dan pihak PDRM yang mengiringinya.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan peguam saya, Adherie yang komited dalam membantu urusan guaman dan perundangan Jamal di sana,” katanya. – MalaysiaGazette