12 pemain bola dan seorang jurulatih masih berada di dalam gua Tham Luang dan usaha untuk mengeluarkan mereka sedang dijalankan. foto Agensi

BANGKOK – Kesemua 13 orang yang terperangkap di Gua Tham Luang perlu menyelam untuk keluar dari situ selepas terperangkap sejak 23 Jun lalu.

“Mereka yang paling sihat akan dikeluarkan terlebih dahulu. Yang lain akan ikut,” kata Narongsak Osotanakorn, ketua operasi menyelamat.

Bekas Babenor Chiang Rai itu berkata, ketika ini paras air banjir di dalam gua itu
berkurangan selepas dipam keluar.

Penurunan paras air dalam gua itu akan memudahkan usaha mengeluarkan 12 remaja dan jurulatih bola sepak yang telah berada dalam gua berkenaan selama 11 hari.

“Paras air telah susut sebanyak satu sentimeter sejam. Sekiranya kita dapat mengekalkan momentum ini, ia sepatutnya selamat untuk membawa kanak-kanak keluar segera, “kata Narongsak.

Koordinator Suruhanjaya Penyelamat Gua Kebangsaan Amerika Syarikat, Anmar Mirza pada Selasa lalu berkata, menyelam adalah pilihan yang paling cepat untuk membawa mereka keluar dari gua, juga cara paling berbahaya.

Tetapi pilihan untuk membiarkan mangsa-mangsa yang terselamat tinggal di dalam gua sehingga banjir yang sepenuhnya surut adalah risiko besar kerana hujan lebat dijangka turun lagi.

Gua sepanjang 10 kilometer di wilayah Chiang Rai biasanya banjir antara bulan Julai dan November setiap tahun.

Kesemua pasukan bola itu telah ditemui oleh penyelam British kira-kira 5 kilometer dari pintu masuk gua berkenaan.

Mereka masih berada di lokasi ketika ditemui sementara persiapan untuk mengeluarkan mereka sedang dilakukan. – MalaysiaGazette