Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuktikan beliau tidak bersalah berhubung kes yang dihadapinya ini melalui proses mahkamah yang adil.

Bekas Perdana Menteri yang meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam dengan ikat jamin berkata, beliau akan mendepani dugaan itu dengan cekal dan sentiasa mengingati Allah.

“Sepanjang 42 tahun merentasi karier ini, perjuangan saya sentiasa untuk rakyat dan parti saya.

“Jika penganiayaan ini adalah harga yang perlu saya bayar demi perjuangan saya untuk rakyat, demi kemakmuran negara, demi kebajikan rakyat, saya sesungguhnya reda dengan dugaan dunia ini.

“Mata hati saya, pada ketika melalui dugaan ini, sentiasa pada Allah SWT,” katanya menerusi status yang disiarkan dalam akaun facebook beliau hari ini.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, yang didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd semalam, mengaku tidak bersalah.

Beliau minta kes itu dibicarakan selepas keempat empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Soffian Abdul Razak.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jami sebanyak RM1 juta ke atas semua empat pertuduhan itu dengan dua orang penjamin, iaitu anak Najib sendiri, Nooryana Najwa dan Ashman.

Menurut Najib, sepanjang hampir 24 jam ini, beliau dapat melihat sokongan dari rakyat Malaysia kepadanya sama ada yang hadir di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di mahkamah mahu pun di media sosial.

“Saya juga tersentuh dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan, termasuk yang pernah menentang saya pada masa lalu, menyokong saya dan turut menggesa kerajaan untuk memberikan kepada saya layanan yang adil dan menghormati undang-undang.

“Sokongan dan kata-kata anda ini sangat bermakna buat kami pada ketika kami merentasi dugaan dunia ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pegawai dan anggota SPRM dan pihak keselamatan di atas profesionalisme mereka ketika saya ditahan. Saya telah dilayan dengan baik dan penuh hormat.

“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada anda semua di atas sokongan yang tak putus putus kepada saya dan keluarga,” katanya.

Kata Najib, dengan izin Allah, sebagaimana beliau perjuangkan hak rakyat, beliau akan perjuangkan keadilan untuk dirinya bagi membuktikannya tidak bersalah pada pertuduhan pertuduhan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast