Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa pihak-pihak yang berminat untuk mengendalikan platform Dana Masyarakat Berasaskan Ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer financing (P2P) agar mengemukakan permohonan bagi pendaftaran dengan SC.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada SC selewat-lewatnya sebelum 7 September 2018.

Sehingga Jun 2018, SC telah mendaftarkan tujuh pengendali ECF dan enam pengendali pembiayaan P2P.

Platform-platform ini telah memberi manfaat kepada lebih 300 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengumpul sejumlah RM118 juta modal melalui lebih daripada 1,000 kempen yang berjaya.

Garis Panduan Pasaran-Pasaran Yang Diiktiraf menggariskan keperluan bagi platform ECF dan P2P yang didaftarkan, tugas dan tanggungjawab sebagai pengendali platform dan jenis penerbit dan pelabur yang boleh mengambil bahagian dalam aktiviti sedemikian. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 bagi mana-mana individu yang mengendalikan platform ECF dan P2P sebelum memperolehi kebenaran daripada SC. – MalaysiaGazette